Archive for November, 2007

Pergimu Meninggalkan Jasa Jariah

Tuesday, November 6th, 2007

Semoga
Allah mencucuri rahmatNya ke atas Abang Norhaminudin dan mengurniakan
kesabaran kepada isteri, Cikgu Khuzaimi serta ahli keluarganya. Bagi
mereka yang berjuang di jalanNya, bergembiralah dengan janji ALlah yang
akan menempatkan para Duat bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan
Solihin. Mereka adalah sebaik-baik teman di Akhirat nanti.

Disember 2006 yang lalu, Abang Amin menghembuskan nafasnya yang
terakhir hanya beberapa bulan setelah mengetahui dia menghidap barah.
Malang saya tidak dapat bersama penduduk di Bangi menunaikan solat
jenazah dan mengebumikannya. Di hari yang sama, saya mengetuai
rombongan Jemaah Haji bertolak untuk mendaftar diri di Kelana Jaya dan
berlepas ke Tanah Suci dari KLIA. Lebih ralat, hasrat Abang Amin ketika
beliau di NCI (Nilai Cancer Institute) untuk bertemu dengan saya tidak
sempat saya tunaikan dek sibuk dengan urusan seharian dan tidak
menyangka beliau akan pergi begitu cepat.

Abang Amin adalah di antara orang yang pertama mendidik saya di
Jalan Dakwah ini. Walaupun sebelumnya ketika di Tingkatan 2 dan 3, saya
agak rapat dengan usaha-usaha kumpulan tarikat, Al-Arqam dan Tabligh,
namun sejak Tingkatan 4 hingga kini, penglibatan yang lebih sahih dan
jelas sejak bersama beliau, seorang jurutera berkelulusan di United
Kingdom, kemudian di Jepun dan rakan-rakannya. Isteri beliau, Cikgu
Khuzaimi bersama dengan Cikgu Norizan dan Cikgu Masniyati, kesemuanya
adalah guru matematik di MRSM Kuantan ketika itu adalah mereka
yang mula-mula mengajak saya mengikuti program tarbiyah bersama
suami-suami mereka. Saya masih ingat tiap hari Sabtu, hari pelajar
asrama bebas ke bandar Kuantan, ketika ramai pelajar lain menghabiskan
masa di panggung wayang dan kompleks beli belah, kami ke rumah Abang
Amin untuk berusrah. Apa yang menarik ialah suasana rumahtangga Islam
yang jelas berbeza dengan suasana rumah-rumah lain ketika itu, dan
hidangan yang menyelerakan kami tiap kali selepas usrah. Maklum
sajalah, semua maklum dengan makanan yang biasa kami makan tiap hari
daln malam di dewan makan asrama.

“Minggu ni lepas usrah makan apa agaknya ya?”, fikir saya bila tiba
hari Sabtu. “Mee sup, mee kuah, mee goreng …?”, jawab shati saya
sendiri. Begitulah minggu-minggu awal di Tingkatan 4 bila mengenang
jasa Abang Amin dan Cikgu Khuzaimi. Tanpa disedari setelah tiap minggu
kami bertemu, perasaan terhadap apa jenis makanan yang dihidangkan
berkurangan. Sebaliknya keseronokan menimba ilmu dan kefahaman Islam
semakin bertambah minggu demi minggu. Tajuk-tajuk seperti Pengertian
Kalimah Syahadah, Hakikat Iman Kepada Allah, Ibadah Yang Syumul dan
sebagainya menambat hati dan membentuk diri sehingga ke hari ini.

Buat mereka yang bekerja di Jalan Allah, beberapa tauladan dapat
kita ambil di sini. Semua boleh berperanan di biang dan tempat
masing-masing. Guru boleh mengajak anak murid di sekolahnya melibatkan
diri dalam program-program Tarbiyah. Seorang jurutera atau apa
sahaja bidang teknokrat boleh mentarbiyah asalkan dirinya telah melalui
terlebih dahulu Tarbiyah tersebut dan dia meyakini bahawa dia mesti
pula berperanan terhadap orang lain. Al-Wafak (setia) walau berlalu
masa yang panjang, adalah satu akhlak yang luhur dimana kita mengasihi
orang yang pernah menasihati kita walau sepatah, apatah lagi mendidik
keperibadian kita dan menunjukki anak-anak tangga pertama Jalan Dakwah
ini. Ini ditunjukkan oleh wafak Rasulullah saw terhadap Khadijah walau
isterinya telah lama pergi. Imam Syafie berkata, “Orang yang merdeka
(jiwanya) ialah orang yang meraikan saat manis walau sedetik, dan
bergabung dengan orang yang telah memberi menfaat kepadanya walau
dengan sepatah perkataan”. Itu jika sedetik atau sepatah. Bagaimana
pula jika masa yang panjang dan ilmu serta kesedaran yang melimpah ruah.

Ilmu dan usaha beliau yang dimenfaatkan oleh saya dan teman-teman
tergolong dalam 3 perkara yang tidak terputus (jariah - mengalir)
pahalanya setelah mati. Moga Allah merahmati Allahyarham, memaafkan
dosa dan kesalahannya, memasukkannya kedalam Syurga Firdaus. Amin ya
Rabbal Alamin. Sekian.